google language translate

flashVortex


Search This Blog


Saturday, May 1, 2010

ABU TALIB

Polemik status agama Abu Talib
SUSUNAN SITI AINIZA KAMSARI (Utusan Malaysia Online)



Makam isteri Nabi Muhammad, Siti Khadijah Khuwailid di Ma'la yang berhampiran makam anak baginda, iaitu Kassim yang wafat dalam usia yang masih kecil.
________________________________________

TIADA niat untuk mempolemikkan status agama bapa saudara Nabi Muhamad SAW, Abu Talib bin Abdul Mutallib yang dikatakan meninggal dunia dalam keadaan tidak beriman kepada Allah.
Tetapi ada pihak yang masih bertanyakan mengenai 'kelainan' kisah-kisah sebenar di sebalik kematian Abu Talib itu. Ini memerlukan untuk kita melanjutkan kisah itu dari tulisan al Mubarakfuri dalam bukunya Sirah Nabawiyyah mengenai peristiwa sejurus bapa saudara baginda itu meninggal dunia.

Rasulullah SAW mungkin begitu kesal dengan kematian bapa saudaranya itu. Namun yang baginda kesalkan adalah apabila sehingga di saat kematian bapa saudaranya itu pun, Abu Jahal masih tidak berputus asa menghalang penyebaran Islam. Walau bagaimanapun baginda menerima ketentuan yang seperti ini dan lalu berkata: "Akanku pohonkan keampunan (dari Allah) untuk mu wahai bapa saudaraku selagi aku tidak dilarang berbuat demikian". Lalu Allah turunkan ayat surah at-Taubah, ayat 113 bagi menjawab persoalan mengenai kematian Abu Talib itu. Firman Allah yang bermaksud: Tidaklah dibenarkan bagi Nabi dan orang-orang yang beriman, meminta ampun bagi orang-orang musyrik sekalipun orang itu kaum kerabat sendiri, sesudah nyata bagi mereka bahawa orang-orang Musyrik itu adalah ahli neraka.



Begitu juga firman Allah yang bermaksud: Sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) tidak berkuasa memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang engkau kasihi (supaya dia menerima Islam), tetapi Allah jualah yang berkuasa memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya (menurut undang-undang peraturan-Nya) dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang (ada persediaan untuk) mendapat hidayah petunjuk (kepada memeluk Islam). (al-Qasas: 56) Kata al Mubarakfuri, kita tidak perlu menghuraikan tentang perlindungan dan pengawalan yang selama ini diberikan oleh Abu Talib (kepada Rasulullah). "Dia adalah kubu yang teguh memelihara dan dakwah Islamiah daripada serangan-serangan orang yang takbur dan bodoh. "Sayangnya dia tetap berpegang kepada agama nenek moyangnya. Justeru dia tidak mendapat kejayaan yang sebenar," katanya. Dalam hadis-hadis riwayat Al Abbas bin Abdul Mutalib, bahawa dia pernah bertanya kepada anak saudaranya, baginda Rasulullah mengenai kematian Abu Talib itu. "Apakah engkau tidak dapat menolong bapa saudaramu sedangkan dia melindungi kamu dan marah demi keranamu," tanya Al-Abbas.
Lalu baginda menjawab: "Abu Talib berada dalam tempat yang paling cetek di neraka (hukuman paling ringan). Kalaulah tidak kerana aku, nescaya dia berada di lapisan terbawah dari neraka".
Sementara seperti yang diriwayatkan oleh Abu Said Al Khudriy, bahawa Al Abbas pernah mendengar baginda bersabda (mengenai nasib Abu Talib): "Boleh jadi ada gunanya syafaatku kepadanya pada hari kiamat kelak, di mana dia akan diletakkan dalam tempat yang cetek dari neraka sehingga sampai ke buku lalinya".

Sementara dalam bukunya, Fiqh Al-Harakah - Dari Sirah Nabawiyyah (Dewan Pustaka Fajar, 1992) Abdul Hadi Awang pula menulis bahawa menurut pendapat mazhab syiah dan beberapa orang di kalangan Ahli Sunnah Wal Jamaah bahawa Abu Talib telah menganut Islam berdasarkan beberapa riwayat yang membuktikan bahawa bapa saudara Nabi itu bukanlah meninggal dunia dalam keadaan musyrik. Bahawa Al Abbas (r.a) telah mendengar Abu Talib pernah berkata: "Sesungguhnya aku telah mengetahui bahawa agama yang dibawa oleh Muhammad adalah agama yang paling baik (min khaira adyani) di kalangan agama-agama yang dianut oleh makhluk ini".



Mereka mempertahankan bahawa Abu Talib telah menerima Islam dengan mengemukakan beberapa alasan yang lain:

1) Abu Talib mengambil sikap mempertahankan Islam, mempertahankan Rasulullah dan mempertahankan mereka yang menganut Islam di samping keluarnya ucapan dari mulutnya yang menunjukkan betapa kasihnya kepada nabi dan para sahabatnya.

2) Abu Talib menyanjung tinggi segala tuntutan Nabi kepadanya. Tidak ada riwayat yang menunjukkan bahawa beliau pernah memuja (menyembah) berhala.

3) Diriwayatkan dari Al Abbas bahawa Abu Talib pernah mengucapkan dua kalimah syahadah. Namun para ulama hadis menolak riwayat ini hanya kerana Al Abbas pada masa itu belum lagi memeluk Islam.

Namun bagi mereka yang dapat menerima riwayat dari Al Abbas ini, cuba mempertahankannya dengan bertanya: "Adakah berani kita mengatakan Al Abbas, iaitu salah seorang lagi bapa saudara kesayangan dan dikasihi Nabi itu adalah seorang yang pembohong?"

Hadi Awang kemudiannya menukilkan pendapat Al Syaikh Muhammad Abu Zahrah (r.a) yang menegaskan: "Bahawa aku berpendapat Abu Talib bukanlah seorang Musyrik. Ini kerana mereka yang musyrik itu menyembah berhala. Sedangkan amalan Abu Talib dan termasuk juga kata-kata dan pendiriannya menunjukkan bahawa beliau berpendapat menyembah berhala itu suatu kebatilan. Oleh itu aku lebih cenderung beristighfar untuknya".

ADA sesetengah pendapat lain mengatakan bahawa Abu Talib adalah seorang Muslim apabila jenazahnya disempurnakan cara Islam. Dikatakan setelah kering air mata baginda ekoran kesedihan atas kematian bapa saudaranya itu, dengan suara pilu lalu baginda menyuruh anak Abu Talib, iaitu Saidina Ali untuk menguruskan jenazah. "Mandikanlah, kafanilah dan kuburkanlah! Semoga Allah mengampuni dan merahmatinya," kata baginda. Dalam hal ini jika Rasulullah menyuruh Ali agar memandikan ayahnya bermakna hanya jenazah mereka yang Muslim sahaja layak diuruskan dengan cara itu.

Pada hal, Islam tidak membolehkan orang Islam memandikan (jenazah) orang kafir mahupun menguruskan jenazah orang kafir secara Islam. Lalu sebagai seorang yang begitu mempunyai makna dan pengaruh yang sangat besar dalam kehidupan Nabi Muhammad, apakah hakikat sebenar mengenai status agama Abu Talib ini? Namun yang jelas, pemergian Abu Talib sangat meninggalkan kesan yang sangat mendalam kepada diri Rasulullah. Sehingga dalam nada yang sebak baginda berkata: "Orang-orang Quraisy tidak pernah meninggalkan sesuatu yang tidak disukai sedikitpun kepadaku sehinggalah Abu Talib meninggal (dunia)."

Yang jelas, Abu Talib tidak sekadar tokoh besar yang sangat dihormati dan dimuliakan oleh lawan dan kawan terutama di kalangan para pembesar Mekah. Namun beliau merupakan tokoh yang tidak sekadar memberi perlindungan kepada seorang Rasul mahupun sekadar bapa saudara yang membesarkan anak saudaranya tetapi yang jelas tanpanya, Islam itu sendiri sukar untuk disebarkan. Tiga hari kemudian iaitu selepas kematian bapa saudara kesayangan, baginda bagaikan jatuh bertimpa-timpa. Kali ini isteri kesayangan baginda, Saidatina Siti Khadijah pula menurut jejak Abu Talib.

Siti Khadijah meninggal dunia di saat baginda sedang mencari kekuatan baru selepas kematian Abu Talib. Khadijah wafat pada tanggal 10 atau 11 Ramadan tahun ke 10 kenabian dan dimakamkan di Pemakaman Ma'la di sebuah kawasan bernama Hujun. Rasulullah tidak melakukan solat jenazah terhadap jenazah isterinya itu kerana pada saat itu perintah untuk solat jenazah belum disyariatkan.

Namun baginda sendiri turun ke dalam makam untuk menguruskan persemadian terakhir Khadijah. Baginda juga menimbunkan tanah pada makam Khadijah.
Pada tahun 950 H, sebuah bangunan berkubah didirikan di atas makam Khadijah yang kemudiannya dibaik pulih semula pada tahun 1298H. Namun pada hari ini, semua itu tiada lagi. Kubah dan bangunan itu telah dirobohkan.

Solawat!

No comments:

Post a Comment