google language translate

flashVortex

Search This Blog

Friday, February 26, 2010

SELAMAT MENYAMBUT MAULIDUR RASUL



Untuk yang kesekian kalinya, Maulidur Rasul muncul lagi dan tahun ini jatuh pada hari Jumaat. Maulidur Rasul atau dalam bahasa Arab bermaksud kelahiran Rasul adalah hari bersejarah keputeraan Nabi Muhammad S.A.W. Hari ini jatuh pada hari ke-12 bulan Rabiul Rabiul Awal Tahun Gajah bersamaan dengan 23 April 571. Setiap tahun pada hari itu, umat Islam di seluruh dunia akan mengadakan majlis memperingati keputeraan Nabi Muhammad s.a.w dengan mengadakan beberapa acara seperti perarakan, ceramah dan sebagainya.

Ada kelebihan disediakan kepada orang yang memuliakan majlis keputeraan Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam, kerana bila berniat sahaja hendak mengadakan Maulud Nabi, sudah pun dikira mendapat pahala dan dimuliakan. Keberkatan mengadakan Majlis Maulud itu bukan sahaja didapati oleh orang yang mengadakan majlis itu, tetapi seluruh ahli rumah atau orang yang tinggal di tempat itu turut mendapat keberkatannya.



Dan untuk sambutan maulidur rasul peringkat dalaman diri pula, monolog dalaman digunakan untuk muhasabah diri:

1. Aku mengaku cinta dan kasihkan Rasul, …tapinya aku jarang ikut amalannya yang memohon Solawat dan Istighfar sekurang-kurang 70 kali sehari sedangkan dia sudah diangkat sebagai Penghulu syurga dan maksum dari segala dosa;

2. Aku mengaku cinta dan kasihkan Rasul, …tapinya aku sukar pulak nak ikut ajarannya supaya taatkan perintah Allah bersolat, berpuasa, berzakat dan jauhi segala larangan Nya;

3. Aku mengaku cinta dan kasihkan Rasul, …tapinya aku tidak pulak ikut cara nabi bila bergurau, bercakap dan berketawa yang hanya menampak kan gigi sahaja, sedangkan aku kalau bergurau tanpa hadnya, bila bercakap tanpa nilainya dan berketawa mahu bergegar seluruh badan dan rumah;

4. Aku mengaku cinta dan kasihkan Rasul, …tapinya bila bab makanan aku lupa pesan nabi supaya berhenti sebelum kenyang, jangan berlebih-lebihan tentukan dari mana hasilnya, aku hanya tahu bedal semacam jer, bersedekah jarang sekali...;

5. Aku mengaku cinta dan kasihkan Rasul, …tapinya aku sukar nak ikut ajaran nabi supaya solat berjemaah dan bersolat sunat dimalamnya, ini tidak, asyik layan diri sendiri jer, masa bersolat pun kekadang dihujung2 jer;

6. Aku mengaku cinta dan kasihkan Rasul, …tapinya aku gagal pulak ikut nasihatnya supaya jangan buang masa dengan hal-hal tidak berfaedah, sama di satu tahap rasa boring tak tau nak buat apa, dan duduk dikedai kopi tunggu topik;

7. Aku mengaku cinta dan kasihkan Rasul, …tapinya mulut aku bukan main bercakap pasal agama dan sayangkan Allah dan agama, tapi apa yang aku sendiri buat pun tak betul kekadang asyik menyalahkan orang lain, buruk orang didedah buruk sendiri disimpan; dan

8. Aku mengaku cinta dan kasihkan Rasul, …tapinya,…tapinya…dan tapinya
Jadinya timbul persoalan dalam diri aku, betul ke aku ni cinta dan kasihkan Rasul, …atau aku cuma ikut tren sekeliling aje? atau berpura-pura untuk menonjol kealiman diri...

Peringatan untuk diri sendiri yang tidak tahu bila masa akan di jemput kembali, namun amat pasti jemputan itu akan berlaku jua, hanya masa dan ketika sahaja yang menentukan….

Salam Maulidur Rasul !

video clip cahaya solawat



SOLAWAT!
Bahaya Taklid Dalam Akidah



Tulisan 'Bahaya Taklid Dalam Akidah' ini ditulis oleh Dr Asmadi Mohamed Naim (UUM) sila rujuk Utusan Malaysia 25 November 2009 (klik sini). Saya harap ia dapat dimengertikan oleh ramai pembaca Insya-Allah.

APABILA ditanya dari mana nas al-Quran dan sunnah yang menyebut pembahagian yang jelas bagi tauhid tiga serangkai iaitu tauhid uluhiah, tauhid rububiah dan tauhid asma' wa sifat, pendokongnya yang mengaku berpegang dengan al-Quran dan sunnah pun, teragak-agak mendatangkan hujah.

Lantas mendatangkan hujah-hujah berbentuk taklid iaitu WAMY, ulama-ulama lain dan silibus-silibus beberapa buah universiti yang menyokong. Itu sebenarnya taklid.

Kadang-kadang didatangkan nukilan al-Baghdadi dalam al-Farq Baina al-Firaq berkaitan dengan tafsiran perkataan 'ahlussunnah' sebab mahu bergantung dengan ulama silam Ahlussunnah, namun ditiadakan syarahan bahawa Imam al-Baghdadi sebenarnya mensyarahkan tauhid Sifat di dalam kitab tersebut apabila beliau mensyarahkan firqah najiah (firqah yang selamat). Bahkan perkataan 'tauhid-tauhid sifat' dalam definisi tersebut diabaikan. Walhal itulah antara sifat-sifat 20.

Lihat bagaimana Imam al-Baghdadi mensyarahkan pandangan Ahlussunnah dalam mentauhidkan sifat Allah SWT: "Mereka ijmak bahawa tempat tidak meliputiNya (Allah SWT tidak bertempat) dan masa tidak mengikatnya, berbeza dengan firqah al-Hasyamiah dan al-Karamiah, yang mengatakan Allah memegang arasynya". (Lihat Al-Baghdadi, al-Farq Baina al-Firaq, hal.256).

Dalam isu tauhid, amat merbahaya kita bertaklid. Sepatutnya didatangkan nas-nas yang jelas berkaitan pembahagian tiga serangkai tersebut bersesuaian sekiranya kita bersarjanakan al-Quran dan sunnah.

Kalau berdoa selepas solat secara berjemaah yang tidak ditunjuk oleh hadis secara jelas pun dituduh bidaah dan sesat oleh sesetengah orang (walau berdoa disuruh dalam al-Quran dan sunnah), apatah lagi isu pokok dan besar seperti tauhid.

Apabila ditanya, mana dalil al-Quran dan sunnah apabila anda mengatakan penyembah berhala bertauhid dengan tauhid rububiah (tanpa tauhid uluhiyah)? Lantas akan dinyatakan kata-kata si polan dan polan mengatakan perkara ini dan di sokong pula dengan ulama-ulama ini dan ini.

Persoalan saya: Kenapa tidak ada sepatah pun ayat al-Quran dan hadis atau kata-kata ulama-ulama Salafussoleh (tiga kurun pertama) mengenai perkara ini?

Memang benar ada ayat yang bermaksud: Dan jika engkau bertanya kepada mereka, siapakah yang menciptakan mereka, nescaya mereka menjawab: Allah; jadi bagaimana mereka dapat dipalingkan (dari menyembah Allah SWT). (al-Zukhruf: 87).

Dalil ini digunakan untuk menunjuk- kan orang-orang Musyrik (penyembah berhala) beriman dengan iman rububiah. (Mohd. Naim Yasin, hal.11).

Namun kenapa tidak dicantumkan dengan ayat selepasnya? Dan (Allah mengetahui) ucapannya (Muhammad): Ya Tuhanku, sesungguhnya mereka itu adalah kaum yang tidak beriman. (al-Zukhruf: 88).

Tidak pula al-Quran mahupun sunnah menyebut orang-orang Musyrik beriman dengan tauhid rububiah sahaja! Ini persoalan akidah, sepatutnya ada nasnya secara jelas.

Sebaliknya al-Quran mengatakan dengan jelas bahawa mereka bukan orang yang beriman. Bagaimana kita boleh mengubahnya mengatakan mereka beriman dengan tauhid rububiah? Mana dalilnya sebab ini persoalan akidah?

Ini adalah taklid. Kenapa kita membenarkan taklid dalam soalan akidah sebegini? Kita amat tidak adil apabila membenarkan taklid pada persoalan akidah sebegini.

Lantas kemungkinan saya pula ditanya: Apa dalil kamu dari al-Quran dan sunnah yang menyebabkan kamu mengkhususkan Sifat 20 untuk Allah SWT?

Maka saya berkata: "Bahawasanya Allah SWT bersifat dengan segala sifat kesempurnaan, dan maha suci dari segala kekurangan. Sesungguhnya ketuhanannya melazimkan kesempurnaan mutlak secara khusus untuk ZatNya.

"Kemudian, kami memilih sifat-sifat terpenting daripada sifat-sifatNya yang maha sempurna dan kami menjelaskannya secara terperinci perkara-perkara dan keyakinan-keyakinan yang berkaitan dengannya (Lihat al-Buti, 1992, Kubra al-Yaqiniyat al-Kauniyyah, h108).

Adalah satu fitnah sekiranya kami dikatakan menghadkan sifat Allah SWT kepada 20 sahaja!

Saya mungkin ditanya lagi: Mana dalilnya dari al-Quran dan sunnah? Saya akan mengatakan bahawa semua sifat dua puluh itu ada dalilnya di dalam al-Quran dan sunnah. Kalau mahu diperincikan, boleh dilihat dalam semua buku yang mensyarahkan Sifat 20.

Saya ditanya lagi: Bukankan Sifat 20 itu susunan Muktazilah? Saya berkata: Sekiranya saudara membaca sejarah Islam silam, saudara akan memahami bahawa pada zaman Khalifah Abbasiah iaitu Ma'mun bin Harun ar Rasyid (198H-218H), al-M'tashim (218H-227H) dan al-Watsiq (227H-232H) adalah khalifah-khalifah penganut fahaman Muktazilah atau sekurang-kurangnya penyokong-penyokong yang utama dari golongan Muktazilah.

Dalam sejarah Islam, dinyatakan terjadinya apa yang dinamakan 'fitnah al-Quran itu makhluk' yang mengorbankan beribu-ribu ulama yang tidak sefaham dengan kaum Muktazilah.

Pada masa itu, Imam Abu Hassan al-Asy'ari muda remaja, dan belajar kepada seorang Sheikh Muktazilah, iaitu Muhammad Abdul Wahab al-Jabai (wafat 303H).

Imam Abu Hassan al-Asy'ari (wafat 324H) melihat terdapat kesalahan besar kaum Muktazilah yang bertentangan dengan iktiqad (keyakinan) Nabi SAW dan sahabat-sahabat baginda, dan banyak bertentangan dengan al-Quran dan sunnah. Lantas beliau tampil meninggalkan fahaman Muktazilah dan menongkah hujah-hujah kaum Muktazilah.

Bermula dari itulah, Imam Abu Hassan al-Asy'ari melawan kaum Muktazilah dengan lidah dan tulisannya. Justeru, susunan tauhidnya bermula setelah dia berjuang menentang Muktazilah dan mengembalikan kefahaman masyarakat kepada al-Quran dan sunnah.

Di atas jalannya, ulama silam menelusuri, antaranya ialah Imam Abu Bakar al-Qaffal (wafat 365H), Imam Abu Ishaq al-Asfaraini (wafat 411H)., Imam al-Hafiz al-Baihaqi (wafat 458), Imam Haramain al-Juwaini (wafat 460H), Imam al-Qasim al-Qusyairi (wafat 465H), Imam al-Baqilani (wafat 403H), Imam al-Ghazali (wafat 505H), Imam Fakhrurazi (wafat 606H) dan Imam Izzuddin bin Abd Salam (wafat 660H). (Lihat Kiyai Sirajuddin Abbas (2008). Aqidah ahlussunnah wal Jamaah, h21-23).

Tidak pernah wujud pertelingkahan antara penghuraian Imam Abu Hassan al-Asy'ari dan Imam al-Maturidi dengan pengikut-pengikut mazhab fiqh yang empat.

Kemudian saya mungkin diperlekeh kerana pengajian sifat 20 ini bentuknya kaku, lantas contoh sindirannya ialah: "Wujud maksud ada, lawannya tiada.... akhirnya semuanya tiada".

Saya katakan sememangnya cara perbahasan Sifat 20 kena diperbaharui dan diringkaskan.

Dalil-dalil al-Quran berkaitan sifat tersebut perlu lebih dipertekankan berbanding dengan dalil-dalil akal yang rumit-rumit yang mungkin zaman kita tidak memerlukannya.

Pada saya, mungkin penulisan seorang ulama Indonesia Kiai Sirajuddin Abbas bertajuk: Aqidah Ahlussunnah wal Jamaah, boleh digunakan untuk memudahkan kefahaman pembaca. Buku ini masih banyak dijual di toko-toko buku di Wisma Yakin, Kuala Lumpur.

Saya kemudian ditanya berkaitan dengan sahabat-sahabat saya yang mungkin belajar dan mengajar tauhid tiga serangkai ini?

Saya katakan pengalaman saya mendengar pensyarah-pensyarah dan sahabat-sahabat saya yang mengajar tauhid pecah tiga ini, ada di kalangan mereka tidak ekstrem, tidak sampai mengkafirkan/mensyirikkan golongan yang tidak sependapat.


Contohnya bila memperkatakan tawassul dan menziarahi kubur, ada di kalangan mereka menerimanya tanpa mengkafirkannya atau menyesatkannya.

Demikian juga persoalan penafsiran ayat-ayat sifat, ada yang tidak menerima/ tidak taklid bulat-bulat kenyataan Sheikh Muhammad bin Abdul Wahab, dan lebih kepada menyerahkan kepada Allah SWT. Mereka lebih suka merujuk terus ke Ibn Taymiyyah berbanding Sheikh Abd Wahhab.

Di kalangan mereka (mengikut cerita adik saya ketika dia belajar di Universiti Yarmuk, Jordan), pensyarah Aqidahnya mengatakan: Kamu orang-orang Malaysia, ramai mengikut Ahlu sunnah aliran Asyairah.

Namun, tauhid yang diajarkan ini mengikut susunan Ibn Taymiyah kerana menjadi silibus Universiti ini (pada masa itu). Terserah kepada kamu mengikut keyakinan Asyairah itu (tanpa beliau menyesatkannya).

Mereka menyedari ramai ulama silam (sama ada muhadithin, fuqaha' atau mufassirin) dari kurun ke tiga Hijrah berpegang kepada huraian Imam Abu Hassan al-Asy'ari (wafat 324H) dan Imam Abu Mansur al-Maturidi (wafat 333H).

Walaupun begitu, ada yang amat ekstrem dalam pegangannya sehinggakan menyesatkan imam-imam terdahulu yang berada dalam lingkungan ratusan tahun.

Semoga pembaca membuat pertimbangan dan terbuka berkaitan isu ini. Pada saya berpegang pada tauhid susunan dan huraian orang yang dekat dengan Rasulullah SAW (al-'ali) lebih selamat dari berpegang kepada tauhid orang terkemudian dan sekarang yang kelihatan cacar marba metodenya dan bertaklid dengan orang-orang baru (al-nazil).

Semoga Allah SWT menyelamatkan kita dari kesesatan dan menganugerahkan kita jalan yang lurus.

* Nota saya: Mazhab-mazhab yang ada adalah sekolah pemikiran. Semacam dalam bidang kesusasteraan ia dipanggil teori. Setiap teori ada landasannya tersendiri. Jika tidak pandai teori dan bertaklid buta jangan menyalahkan orang lain yang lebih arif teori dan tidak mahu bertaklid membuta babi. Saya suka memetik semula perenggan ini dari tulisan Dr Asmadi Mohamed Naim, "Pada saya berpegang pada tauhid susunan dan huraian orang yang dekat dengan Rasulullah SAW (al-'ali) lebih selamat dari berpegang kepada tauhid orang terkemudian dan sekarang yang kelihatan cacar marba metodenya dan bertaklid dengan orang-orang baru (al-nazil)." Nah soalannya, siapakah yang 'orang yang dekat dengan Rasulullah SAW?' Jawapannya adalah ahlul bait baginda, di mana Rasulullah saw mengatakan al-Quran dan ahlul baitnya tidak akan dapat terpisah sehingga bila-bila berdasarkan hadis: ‘Nashr bin Abdurrahman al-Kufi menceritakan kepada kami, Zaid bin al Hasan – iaitu al Anmathi – menceritakan kepada kami, daripada Ja’far bin Muhammad, daripada ayah Ja’far iaitu Muhammad, daripada Jabir bin Abdullah, ia berkata: Aku pernah melihat Rasulullah saw melaksanakan ibadah haji pada hari Arafah, saat itu beliau sedang berkhutbah di atas untanya; al Qashwa. Aku mendengar beliau bersabda: Wahai manusia, sesungguhnya aku telah meninggalkan (sesuatu) untuk kalian, sepanjang kalian berpegang teguh kepada sesuatu itu nescaya kalian tidak akan pernah tersesat, iaitu kitab Allah dan itrati keluargaku.’ Lihat Sahih Sunan at-Tirmidzi, hadis nombor 3786, bab sifat-sifat utama keluarga Nabi saw.


Sumber daripada blog- faizal tehrani.


SOLAWAT

Saturday, February 20, 2010

Sejarah Kufah Yang Perlu Kita Diketahui

Karbala adalah medan untuk membezakan muslimin, mukminin dan munafikin. Gaza adalah medan untuk membezakan muslimin, mukminin dan munafikin.

Jangan terjebak dengan kumpulan Kufah.

Kufah, nama tempat di Iraq.

Kufah juga menyimpan satu sejarah yang celaka dan menjengkelkan.

Kufah dan penghuninya berkali-kali mengkhianati keturunan Nabi Muhammad saw.





Ahli Kufah misalnya mengkhianati Saidina Hasan. Perang antara Saidina Hasan dan pasukan Mu’awiyyah berakhir dengan perjanjian damai. Itu berlaku setelah orang Kufah berkhianat dan memihak kepada Mu’awiyyah. Demi mencegah pertumpahan darah yang semakin besar; Saidina Hasan 'terdesak' untuk menandatangani perjanjian damai dan membai’at Muawiyyah sebagai khalifah. Dalam perjanjian damai tersebut terdapat permintaan supaya Mu’awiyyah berhenti mencaci-maki Saidina Ali.

Mu’awiyyah menyanggupinya. Akan tetapi setelah perjanjian itu, Mu’awiyyah mencabul perjanjian damai dan terus-menerus menyebarkan fitnah dan mencaci Saidina Ali. Janji Mu’awiyyah kepada Saidina Hasan tidak pernah dikotai. Bahkan tidak kurang dari 70 000 mimbar di bawah kekuasaan Mu’awiyyah melakukan perintah mencaci Ali. Kerana itulah hari ini, ramai ulama dan umat Islam tidak dapat membezakan hak dan batil lagi. Itu semua berlaku kesan dari propaganda mimbar tersebut.

Bukan sekali orang Kufah melakukan pengkhianatan.




Setelah Muawiyah mati, Yazid menaiki takhta (sekali lagi pencabulan perjanjian damai berlaku), Saidina Husein mengirimi Muslim bin Aqil ke Kufah, mulanya ia disambut dengan baik oleh penduduk Kufah. Mulanya! Hal ini mendorong Muslim mengirimi surat kepada Saidina Husein agar datang ke Kufah segera.

Gabenor Kufah yang mewakili Yazid bin Mu’awiyyah telah melakukan peras ugut, teror sehingga orang Kufah berbalik, mendokong Yazid. Muslim dibiar sendiri terkontang-kanting. Ditangkap dan dijatuhi hukuman penggal.

Surat yang disampaikan Muslim tiba kepada Saidina Husein. Saat itu belum ada al-Jazeera atau internet, mahupun sms. Berita kesyahidan Muslim belum terdengar. Berangkatlah rombongan Saidina Husein menuju kufah. Hanya kala tiba di Tsa’labiyah barulah Saidina Husein mendengar kematian Muslim.


Tetapi untuk berpaling dan berpatah balik tentunya tidak.

Perjalanan baginda tetap berlanjut.

Pada tanggal 2 Muharram rombongan Saidina Husein sampai di sebuah lapangan yang bernama Karbala. Tarikh 3 Muharram, Ibnu Ziyad mengirimkan 4000 tentera sementara 500 tentara berkuda diperintahkan untuk menutup saluran air dengan maksud agar pengikut Saidina Husein kehausan.

Persis Gaza hari ini, Karbala dikepung. Bekalan air dan makanan ditahan. Dan syahid nampak hanya jalan. Mungkin, bezanya dengan Gaza ialah ahli Karbala tidak bersembunyi tetapi memilih jalan untuk melawan. Kalau berlindung pun mati, mengapa tidak mati melawan?

72 orang sahabat dan saudara Saidina Husein terpaksa menentang sepuluh ribu pasukan musuh.

Satu kejadian yang paling tragis adalah ketika seorang bayi kecil yang menangis kehausan, mendorong Saidina Husein menunjukkan kepada musuh, dengan harapan simpati akan diberikan, dan air minum akan dihulurkan. Yang terjadi adalah bayi itu dipanah oleh salah seorang anggota pasukan Umar bin Saad dan tepat mengenai perut bayi itu.

Tidakkah ia menyerupai Gaza?

Pertempuran yang sangat tidak seimbang terus berlangsung sehingga Saidina Husein pun gugur sebagai syahid pada tanggal 10 Muharram 61 H setelah kepalanya diceraikan oleh Syimir Zul Tawisyan.

Berakhirlah perang tersebut, dalam tempoh sekejap.



Pada tanggal 11 Muharram 61 H, sebanyak 72 kepala ahlul bait dan pengikut mereka ditancapkan di hujung tombak. Sementara dibelakangnya diseret para wanita dan anak-anak.

Kepala mereka, dan tawanan digiring ke kota Kufah untuk menjadi tontonan.

Katakan Gaza itu Karbala, meskipun orang di Gaza lebih ramai yang tidak berani melawan. Katakan...

Nah, siapakah antara kita tergamak menyebelahi ahli Kufah ini? Kerana itu tidak menghairankan, di sesetengah negara; dalam demonstrasi mengecam kejahatan zionis, bukan Kedutaan Israel dan Amerika sahaja yang menjadi sasaran tetapi bahkan Kedutaan Mesir dan Arab Saudi.

* Foto, ahli Kufah zaman moden? Dari atas Abdullah Gul (Turki), Mahmoud Abbas (Fatah-Palestin), Recep Tayyip Erdogan (Turki), Raja Abdullah (Penakluk Dua Tanah Suci), Hosni Mubarak (Mesir), Raja Abdullah (Jordan). - sumber dipetik dari blog Faizal Tehrani
Ini sejarah yang perlu diketahui...
Solawat!

Tuesday, February 9, 2010

National Endowment for Democracy (NED)

ARTIKEL PENUH:
NED dan Campurtangan Asing Dalam Politik

National Endowment for Democracy (NED) mungkin kurang diperhatikan oleh penganalisis politik antarabangsa tempatan. 12 Jun lepas apabila Presiden Mahmoud Ahmadinejad memenangi pilihanraya presiden untuk Republik Islam Iran (menewaskan pencabar terdekatnya Mir Hossein Mousavi), NED menjadi perhatian. Iran mendakwa rusuhan yang meletus di kota Tehran selepas kemenangan Mahmoud didalangi oleh kuasa luar, yang tentu sahaja dinafikan oleh media Barat. Akan tetapi apakah ada kemungkinan dakwaan Iran tersebut benar?



Tentu sahaja, Iran adalah salah sebuah negara yang sering diganggu kuasa Barat. Amerika Syarikat misalnya pernah menjatuhkan Perdana Menteri Iran Mohammed Mossadegh dalam tahun 1953, dan menegakkan rejim Shah Reza Pahlavi untuk menjadi boneka mereka di sana. Hal ini misalnya diakui oleh presiden AS sendiri baru-baru ini, Barack Obama menyebutkan di Kaherah (dalam “ucapan damainya” kepada dunia Islam), bahawa “di tengah Perang Dingin, Amerika Syarikat memainkan peranan untuk menjatuhkan kerajaan yang dipilih oleh rakyat Iran secara demokratik.’ (Lihat butiran Rumah Putih di http://www.whitehouse.gov/the_press_office...ersity-6-04-09/). Dan apabila Shah jatuh digulingkan oleh rakyat menerusi Revolusi Islam pimpinan Imam Ruhullah Khomeini, sekali lagi kerja-kerja untuk mencampuri urusan pentadbiran Republik Islam Iran itu pun bermula di belakang tabir. Di sinilah munculnya NED.



NED adalah sebuah agensi separuh kerajaan yang didanai oleh Kongres AS dan beberapa individu yang tujuannya adalah untuk menyokong dan mendokong organisasi di luar AS yang pro polisi luar negara Rumah Putih. Hal ini disebut secara terang dalam laman rasmi NED bahawa penubuhannya sejak 1980 adalah untuk “membantu usaha demokrasi di negara yang dipercayai dapat memberi manfaat kepada Amerika Syarikat, dan kepada pihak yang berhempas pulas memulihkan kebebasan dan hak asasi” (lihat David Lowe, Idea To Reality: A Brief History of the National Endowment for Democracy, http://www.ned.org/about/nedhistory.html).

Idea di belakang NED ialah untuk menjadi organisasi muka hadapan CIA dalam mencampuri urusan negara lain. Perkara ini malah diakui oleh salah seorang penubuh NED, Allen Weinstein, “Apa yang kita lakukan hari ini kebanyakannya dilakukan oleh CIA 25 tahun lalu.” (lihat William Blum, Rogue State: A Guide to the World’s Only Superpower, Common Courage Press, Monroe-Maine, 2000, halaman 180.) NED menyalurkan dana secara terus atau melalui badan lain terutama Institut Demokratik Nasional (National Democratic Institute, NDI) dan Institut Republikan Antarabangsa (International Republican Institute, IRI), yang aktif di banyak negara termasuk Malaysia (lihat http://www.iri.org/asia/malaysia.asp dan http://www.ndi.org/malaysia?page=0,1#Funding.)

Apakah cara kerja NED? Barangkali elok kita tinjau modus operandi NED di negara-negara yang pernah mereka dalangi. Kaedah pertama, di Nicaragua dalam tahun-tahun 1980-an, NED melakukan kerja batu api dengan memprovokasi aktiviti kepembangkangan. Apabila pembangkang menjadi kuat dan provokatif, pihak kerajaan akan mengambil tindakan keras terhadap pembangkang dan ini akan membolehkan kepercayaan sebahagian besar rakyat terhadap kerajaan yang telah dipilih menerusi cara demokrasi tergugat (lihat Susan F Rasky, CIA Tied to Nicaragua Provocations, dalam akhbar New York Times, 21 September 1988.)

Kaedah kedua, dalam pilihan raya di Bulgaria pada tahun 1990, NED menabur wang sebanyak AS$1.5 juta kepada parti pembangkang untuk menjatuhkan Parti Sosialis Bulgaria yang memerintah. Media Barat akan membantu usaha ini dengan meuar-uarkan analisis, pungutan suara rawak, dan pelbagai berita bahawa parti-parti pembangkang akan menumpaskan parti kerajaan dan apabila pembangkang gagal dalam pilihan raya tersebut, parti-parti yang didanai NED telah turun ke jalan raya untuk melakukan protes.

Kekacauan berlaku selama berbulan-bulan sehingga perdana menteri dan presiden Bulgaria akhirnya akur lalu meletakkan jawatan (lihat William Blum, halaman 157.) Corak kerja yang sama dilakukan di Albania pada tahun 1991, apabila NED membantu kerajaan komunis dan menaikkan Parti Demokratik yang didanai NED. Dalam tahun 1990 dan 1992, NED turut menjadi sumber kewangan kepada Cuban-American National Foundation, sebuah grup anti Fidel Castro yang berpangkalan di Miami. Cuban-American National Foundation ini pula bertanggungjawab mendanai Luis Posada Carriles, seorang teroris yang pernah melakukan pengeboman terhadap pesawat Cuba dalam tahun 1976 sehingga menyebabkan 73 orang penumpang terbunuh.

Kaedah ketiga, ialah dengan menyatukan beberapa parti pembangkang berlainan ideologi di bawah satu payung. Gabungan pembangkang ini akan didanai menerusi seorang tokoh yang dikenal pasti dengan harapan dapat menjatuhkan kerajaan yang sedia ada. Kaedah ini dilakukan dengan berkesan sekali di Mongolia dalam tahun 1996. NED telah menyatukan beberapa parti pembangkang di bawah nama Pakatan Demokratik Nasional untuk menewaskan parti kerajaan yang berkuasa sejak 1992. Harus diingatkan gabungan pembangkang itu bukanlah parti anti-Barat atau Rumah Putih. Cuma parti tersebut enggan tunduk kepada beberapa polisi ekonomi serantau yang diatur AS.

Sebelum tahun 1996, media sekali lagi berperanan mempromosikan “terapi ekonomi” buat kerajaan Mongolia yang kononnya untuk menyaingi kuasa besar China dari segi perdagangan. Sebenarnya polisi ekonomi yang dimaksudkan adalah untuk membolehkan Mongolia membuka rangkaian bisnes anti-China, dan dalam masa yang sama syarikat-syarikat swasta Barat ini dapat menjadi menjadi perisik dan telinga untuk CIA.

Hal ini didedahkan oleh pengkaji yang sama iaitu William Blum menerusi bukunya, Rogue State: A Guide to the World’s Only Superpower. Bentuk yang serupa dilakukan NED di Haiti untuk menggulingkan Presiden Jean-Bertrand Aristide. Dan contoh klasik ialah usaha NED di Venezuela dalam tahun 2002 untuk menggulingkan Presiden Hugo Chavez. Usaha tersebut gagal, malah salah seorang koresponden CNN mengakui ikut menjadi konspirator dalam rampasan kuasa 48 jam tersebut.



Kembali ke Republik Islam Iran, antara tahun 2005 ke 2007, NED misalnya telah memberi AS$345,000 kepada Yayasan Abdorrahman Boroumand, ABF, (perincian dana NED boleh dilihat di laman National Endowment for Democracy http://www.ned.org/.) ABF ini pula adalah pengasas kepada gerakan penentangan nasional Iran, sebuah grup yang ditubuhkan untuk menjatuhkan “kerajaan mullah” di Iran. Menurut laman rasmi ABF, pengasas mereka Abdorrahman telah dibunuh secara rahsia oleh ejen kerajaan Iran di Paris dalam tahun 1991 (lihat laman Yayasan Abdorrahman Boroumand melalui http://www.iranrights.org/).

Penerima dana NED yang lain ialah Majlis Iran Amerika Nasional (NIAC), menerima AS$25,000 dalam tahun 2002, AS$64,000 dalam tahun 2005, dan AS$107,000 dalam tahun 2006. Di sinilah datangnya kaedah keempat NED iaitu “media training workshop” kononnya untuk melatih peserta mewakili masyarakat dalam bidang komunikasi awam. NIAC aktif menganjurkan bengkel dan seminar untuk tujuan “mengukuhkan kapasiti pertubuhan sivil di Iran.” Antara slogan bengkel anjuran NIAC adalah seperti merangsang pertumbuhan masyarakat madani, atau ke arah hak asasi dan lain-lain lagi (lihat http://www.ned.org/grants/06programs/grants-mena06.html#iran.)




Gerakan ini tentu sahaja telah dikesani oleh Iran. November 2008, lama sebelum pilihan raya presiden Iran berlangsung, duta Iran ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Mohammad-Javad Zarif menuduh AS sedang merancang revolusi warna di Iran. Menurut beliau, kaedah yang diatur NED ialah dengan cara mengundang sarjana dari universiti-universiti di Iran untuk menghadiri konferens akademik di Barat, akan tetapi apabila mereka menyertai sesi undangan itu, sarjana ini akan menyedari mereka sedang berhimpun untuk membincangkan mekanisme menjatuhkan kerajaan Iran (lihat US Plotting Velvet Revolution in Iran?, Press TV, 18 November 2008 menerusi laman http://www.presstv.ir/detail.aspx?id=75784...ionid=351020101)

Hal ini tidaklah mengejutkan kerana dalam bulan Februari 2006, Setiausaha Negara AS Condoleezza Rice telah memohon dana mengejut dari Kongres sebanyak AS$75 juta dengan AS$10 juta akan diperuntukkan untuk “merangsang kempen propaganda menentang Tehran.” Wang sebesar itu akan disalurkan untuk “siaran radio dan televisyen bahasa Parsi dari AS, memberi biasiswa kepada pelajar yang ingin menuntut di AS dan untuk mendanai gerakan prodemokrasi di Iran. Menurut Rice, “dana itu penting untuk menunjukkan AS menyokong aspirasi kebebasan dan demokrasi yang menjadi hak rakyat Iran” (lihat Ewen MacAskill dan Julian Borger, Bush Plans Huge Propaganda Campaign in Iran, Guardian, 16 Februari 2006 http://www.guardian.co.uk/media/2006/feb/16/usnews.iran)

Kaedah kelima NED, ialah dengan menjejaskan ekonomi sesebuah negara yang disasarkan seraya melakukan penyebaran propaganda menerusi semua media (untuk menyelewengkan maklumat dan berita) bahawa negara tersebut sedang disalah urus. Buktinya, laporan ABC News dan Telegraph yang menyebutkan Presiden George Bush telah memberi izin kepada CIA untuk melancarkan operasi hitam untuk menjatuhkan kerajaan Iran yang ada sekarang. Caranya dengan “menjalankan kempen maklumat salah bertujuan menjejaskan kestabilan dan akhirnya, pemerintahan teokratik para mullah.”

Pelan asal tersebut yang digerakkan oleh NED ialah dengan memanipulasi matawang Iran supaya kedudukan ekonomi republik tersebut terjejas (lihat Bush Authorizes New Covert Action Against Iran, ABC News The Blotter, 22 Mei 2007 http://blogs.abcnews.com/theblotter/2007/0...authorizes.html dan laporan Tim Shipman, Bush sanctions “black ops” against Iran, Telegraph 27 Mei, 2007 http://www.telegraph.co.uk/news/worldnews/...ainst-Iran.html)




Kaedah keenam, NED cekap menggunakan media baharu (termasuk blog, Facebook, Friendster, Youtube, dan Twitter) untuk mencetuskan keadaan huru-hara di sesebuah negara. Dua bulan sebelum pilihan raya presiden Iran berlangsung, Iran menerusi apa yang dikenali di Barat sebagai Kor Pengawal Revolusi Iran (IRGC) telah mendedahkan upaya dari luar untuk menjatuhkan kerajaan. Badan tersebut menyebut Belanda, AS dan Inggeris sedang mendanai gerakan anti kerajaan untuk mendorong revolusi kecil (lihat Iran uncovers cyber plot to topple government, Press TV, 11 April 2009 http://www.presstv.ir/detail.aspx?id=91129...ionid=351020101).

Seperti yang telah dimaklumi perarakan dan bantahan dari kumpulan pembangkang menyusul sebaik sahaja kemenangan besar Presiden Mahmoud Ahmadinejad diumumkan. Rusuhan dan protes malah menjadi buruk dengan kemudahan awam seperti bas dan telefon publik dimusnahkan oleh penyokong Mir Houssein Mousavi. Pihak berkuasa terpaksa bertindak. Para militari Basij yang setia kepada Imam Ali Khamenei dituduh menyerbu Universiti Tehran dan membunuh perusuh yang membantah keputusan pilihan raya tersebut. Antara demonstran yang terbunuh ialah Neda Agha Soltan. Kematian Neda malah dirakam dalam video dan tersebar meluas di Youtube (lihat Michael Weissenstein and Anna Johnson, Amateur Video Turns Woman Into Icon of Iran Unrest, Associated Press, 23 Jun 2009 http://www.google.com/hostednews/ap/articl...aesBPAD9902QK00)



Di tengah-tengah huru-hara ini, kerajaan Iran yang menyedari peranan internet dalam merosakkan keamanan telah menutup sistem internet dan melarang jurnalis asing dari membuat apa-apa laporan. Twitter muncul sebagai medium komunikasi parti pembangkang dan agensi berita asing. Apakah itu twitter? Twitter adalah satu bentuk maklumat ringkas yang dapat dicapai menerusi web browser atau sistem pesanan ringkas di telefon bimbit. Pengguna boleh mendaftar untuk mendapatkan maklumat terkini tentang sesuatu kejadian. Meskipun menutup semua sistem sms, Twitter bagaimanapun tidak dapat ditutup oleh kerajaan Iran. Di sinilah timbul tanda tanya kerana Washington Post sendiri mengesahkan bahawa kebanyakan maklumat dari Twitter ini bukannya datang dari Iran sendiri, “It is hard to say how much twittering is actually going on inside Iran” (lihat Mike Musgrove, Twitter Is a Player In Iran’s Drama, Washington Post, 17 Jun 2009 http://www.washingtonpost.com/wp-dyn/conte...9061603391.html).

Perkara ini disahkan oleh laporan New York Times yang mengatakan maklumat menerusi Twitter kebanyakannya tidak boleh dipercayai, “Just as Twitter has helped get out first-hand reports from Tehran, it has also spread inaccurate information, perhaps even disinformation.” Akhbar itu menyebutkan antara berita terkini yang tidak benar ialah 3 juta penyokong Mir Hussein keluar membantah, dan beliau ditahan dalam rumah, “that three millon protested in Tehran last weekend (more like a few hundred thousand); that the opposition candidate Mir Hussein Moussavi was under house arrest he was being watched” (lihat Noam Cohen, Twitter on the Barricades: Six Lessons Learned, New York Times, 20 Jun 2009 http://www.nytimes.com/2009/06/21/weekinre...21cohenweb.html).

Maklumat tidak benar (perarakan tiga ribu menjadi 3 juta) menerusi Twitter itu kemudiannya dilaporkan oleh penulis blog terkenal Andrew Sullivan menerusi blognya The Daily Dish (lihat Andrew Sullivan, Follow-Up On Earlier Posts, The Atlantic, The Daily Dish, 13 Jun 2009 http://andrewsullivan.theatlantic.com/the_...lier-posts.html). Laporan penuh penyelewengan tersebut kemudiannya dipetik pula kebanyakan agensi berita seperti CNN dan AP. Peranan CIA dan NED dalam Twitter wajar diragui kerana apabila firma yang menguruskan Twitter iaitu Twitter Inc perlu melakukan kemaskini berjadualnya seperti biasa, kerajaan AS telah meminta supaya Twitter Inc menangguhkan “scheduled maintenance” tersebut.

Ini kerana Jabatan Negara berpandangan yang Twitter sangat berguna untuk orang ramai di Iran mendapatkan maklumat yang diperlukan. Seorang staf Jabatan Negara telah mengatakan, “one of the areas where people are able to get out the word is through Twitter. They announced they were going to shut down their system for maintenance and we asked them not to” (lihat Mike Musgrove, Twitter Is a Player In Iran’s Drama, Washington Post, 17 Jun 2009 http://www.washingtonpost.com/wp-dyn/conte...9061603391.html). Mengapakah Rumah Putih mencampuri jadual kemaskini Twitter tentu sahaja menimbulkan teka-teki.


Kaedah-kaedah yang digunakan NED di Iran dan negara lain munasabah untuk direnungi oleh Parti Islam Se-Malaysia selaku sebuah gerakan Islam. Sudah tiba masanya PAS mempunyai mekanisme sendiri untuk menebat dan mengekang kemaraan musuh yang semakin sofistikated dan bijak dalam menyucuk jarum. PAS perlu menyediakan satu pelan khusus untuk memantau gerakan musuh dalam selimut, mengenalpasti mereka dan menyingkirkan mereka tanpa rasa bersalah. Untuk itu PAS perlu menganalisis strategi politik mereka supaya tidak terjerumus dalam jerangkap musuh ummah.

Semua kaedah NED di atas telah pun diamalkan dan dikemukakan di Malaysia. Kita sudah menyaksikan gerakan massa berasaskan warna, Bersih yang dikenali dengan warna kuning. Bersih, menurut NDI, “was started by the Joint Action Committee on Electoral Reform (JACER) that emerged from a July 2005 workshop organized by NDI and attended by the three main opposition political parties,” (lihat http://www.ndi.org/malaysia?page=0,1#Funding.)

Parti-parti politik tempatan termasuk PAS sendiri pernah terlibat dengan bengkel dan latihan dikendalikan NDI dan IRI yang didanai NED (lihat http://www.iri.org/asia/malaysia/2006-08-06-Malaysia.asp.) Merdeka Center, sebuah badan kajian pendapat yang ada kalanya boleh dipersoalkan hasil kajiannya juga mendapat dana daripada IRI (lihat http://www.merdeka.org/pages/08_links.html.)



Sudah tiba masanya PAS mengurangkan syahwat terhadap kuasa dan kerusi lantas kembali kepada fungsi asalnya iaitu untuk menjadi juara kepada umat Muslim. Untuk itu agenda perpaduan ummah mesti didahulukan berbanding agenda-agenda lain yang mungkin sahaja telah “disediakan” musuh umat seperti AS. Pimpinan PAS perlu rajin meneliti perkembangan politik antarabangsa, dengan memperkuatkan lajnah antarabangsa dan menghasilkan bahan-bahan latihan dan usrah baharu yang lebih membina kefahaman tentang dunia kontemporari. Tidak ada salahnya juga untuk PAS belajar dari negara-negara yang pernah diganggu AS.

Yang paling dekat dengan PAS tentunya Republik Islam Iran.

* Untuk tujuan kesedaran ramai dibenarkan untuk disebarkan artikel ini tetapi sila kreditkan kepada Siasah edisi 19-25 Julai 09 bilangan 0158 yang menyiarkannya. Dipetik daripada blog saudara - Faisal Tehrani.


Solawat!